SEMINAR PIHAK BERKUASA TEMPATAN MALAYSIA : PENGUKUHAN DAN PENINGKATAN HASIL PBT

Tarikh : 30 Oktober 2023 (Isnin)
Masa : 7.45 pagi – 5.00 petang
Tempat : Four Point By Sheraton, Puchong, Selangor Darul Ehsan
Bil Peserta : 400+ orang

Seminar ini adalah dianjurkan oleh Persatuan Perancang Bandar PBT Malaysia (PETA) dan telah dirasmikan oleh Y.Bhg. Datuk Wira M. Noor Azman bin Taib, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan. Seminar ini adalah bertujuan untuk memberi cetusan idea dan percambahan minda kepada semua peserta dalam menerokai potensi sumber pendapatan baru ke arah peningkatan hasil bagi memperkukuhkan “self-financing”. Ini adalah kerana Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negara ini perlu kreatif dalam mencari sumber pendapatan baharu tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada hasil kutipan cukai semata sebagai sumber pendapatan utama dalam memberi perkhidmatan dan penyediaan prasarana kepada penduduk.

Seminar ini juga dilihat dapat memberi pendedahan kepada semua PBT dalam penjanaan hasil serta mengukuhkan sistem kewangan PBT melalui penyampaian yang efisien di samping meningkatkan kompetensi dan kerjasama antara PBT dalam sektor pengurusan, ekonomi, pembangunan, teknikal serta perkongsian amalan terbaik. Pelbagai kaedah perlu dilaksanakan oleh PBT dalam usaha merangka pengukuhan dan peningkatan hasil terhadap sesebuah PBT itu sendiri.

Seminar pada hari ini telah memperlihatkan tata kelola yang lebih efisien di kalangan PBT yang membentangkan kertas kerja serta sesi perbincangan yang meliputi 9 topik oleh panellist seperti berikut:

1. Kertas Pembentangan Pertama daripada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA)
Pelaksanaan i-sekat : Pembudayaan Inovasi Kearah Penguatkuasaan Yang Inklusif
Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bermula sejak November 2017 telah memperkenalkan Pelaksanaan Sistem i-Sekat yang merupakan suatu langkah Pembudayaan Inovasi Ke Arah Penguatkuasaan yang Inklusif. Sistem i-Sekat ini berfungsi menyekat urusniaga/permohonan individu atau syarikat yang mempunyai tunggakan kepada Majlis seperti tunggakan kompaun majlis, kompaun TLK, cukai taksiran, sewaan dan lain-lain lagi. Sistem ini berfungsi memastikan tiada sebarang tunggakan kepada majlis berlaku sebelum mendapatkan kelulusan bagi urusniaga yang akan dilaksanakan oleh pihak individu atau syarikat.

2. Kertas Pembentangan ke-2 daripada Majlis Bandaraya Petaing Jaya (MBPJ)
Pengurusan Papan Iklan Luaran
Paparan iklan luaran merupakan medium informasi yang penting bagi pelbagai syarikat dalam mempromosikan produk keluaran mereka bukan hanya merujuk kepada paparan statik sahaja malahan bersifat digital. Sehubungan itu, Majlis Bandaraya Petaling Jaya optimis menerusi Sumbangan Paparan Iklan Luaran di Petaling Jaya yang mana usaha ini pada tahun 2022 telah menyumbang hasil sebanyak RM18 Juta. Oleh yang demikian, bagi mendapatkan hasil yang baik kepada PBT proses ini perlu ditingkatkan melalui penyediaan dasar dan garis panduan yang jelas, mesra industri dan komprehensif dalam pelbagai aspek di samping kawalan yang tersusun dan teratur yang mana ia akan dibincangkan selanjutnya nanti.

3. Kertas Pembentangan ke-3 daripada Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ)
Penilaian Potensi Hasil Baharu melalui pemakaian Rancangan Tempatan Subang Jaya 2035
Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) sangat kompeten seiring dengan pemodenan serta menambahbaik penggunaan Rancangan Tempatan (RT) di peringkat PBT iaitu dengan menggunapakai nisbah plot dalam setiap Pembangunan melalui Rancangan Tempatan Subang Jaya 2035 (RTSJ 2035). Oleh yang demikian, MBSJ akan berkongsi tentang Penilaian Potensi Hasil Baharu Melalui Pemakaian Rancangan Tempatan Subang Jaya 2035 (RTSJ 2035). Inovasi RTSJ 2035 yang diperkenalkan oleh MBSJ ini telah berjaya mengutip hasil baharu dan meningkatkan kutipan Caj Pemajuan bermula pada tahun 2020. Komitmen ini juga dilihat selaras dengan pengurusan ekonomi / kewangan Konsep Malaysia Madani yang digagaskan oleh Perdana Menteri kini.

4. Kertas Pembentangan ke-4 daripada Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT)
Proses Request for Proposal )(RFP) bagi pembangunanan tanah milik PBT
Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) kini banyak menerima Cadangan Pemajuan di atas tanah milik PBT ini yang mana ia dilaksanakan secara ‘Request for Proposal’ (RFP). Kaedah ini dilihat dapat menarik minat banyak pemaju bersama-sama menjalankan projek usahasama di atas tanah-tanah milik PBT yang mana ia merupakan salah satu usaha dalam menggalakkan pelaburan swasta ke arah merangsang pertumbuhan ekonomi bandar. MBKT akan berkongsi pengalaman dalam pelaksanaan proses ini yang mana ia melibatkan penyediaan “Terms of Reference (TOR) serta tata kelola dalam menjalankan cadangan pembangunan ini.

5. Kertas Pembentangan ke-5 daripada Majlis Bandaraya Seremban (MBS)
Tabung Amanah Kubur – Sember Penyediaan dan Pengurusan Tanah Perkuburan
Dalam merancang dan menyediakan kemudahan awam yang pelbagai, kita tidak terlepas daripada masalah kekurangan tanah perkuburan di kawasan PBT yang pesat membangun. Sehubungan itu, Majlis Bandaraya Seremban telah menguatkuasakan penubuhan Tabung Amanah Sumbangan Perkuburan Majlis Bandaraya Seremban bermula pada tahun 2012 yang mana ia berfungsi memastikan pihak pemaju tidak terlepas pandang serta mengambil tanggungjawab sosial dalam menyediakan tanah perkuburan selaras dengan pelbagai cadangan pembangunan yang dilaksanakan khususnya kawasan kediaman. Majlis Bandaraya Seremban akan berkongsi proses pelaksanaan Tabung Amanah Sumbangan Perkuburan ini di mana ia melibatkan proses pembelian tanah perkuburan, pembinaan asas infrastruktur, penyelenggaraan serta pelaburan di akaun yang ditetapkan untuk mendapat faedah kewangan.

6. Kertas Pembentangan ke-6 daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)
Pengurusan Projek Pengswastaan
Dasar Penswastaan yang diperkenalkan oleh kerajaan bermula Tahun 1981 melalui Dasar Pensyarikatan Malaysia adalah bagi menggalakkan gabungan sektor kerajaan dan sektor swasta dalam pelbagai bidang ekonomi, industri, pembangunan dan lain-lain lagi yang membawa objektif untuk mengurangkan perbelanjaan kewangan sektor kerajaan di samping peningkatan kecekapan dalam penghasilan kerja serta mempercepatkan pencapaian ekonomi negara. Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan berkongsi Pengalaman Menguruskan Projek Penswastaan bagi pembangunan di Kuala Lumpur. Hala tuju penswastaan di DBKL sentiasa berubah selaras dengan keperluan dan dasar kerajaan dari masa ke semasa. Oleh yang demikian, daripada tahun 2000 hingga kini, pengurusan projek penswastaan di Kuala Lumpur masih kekal yang mana kini lebih fokus ke aras pembangunan MADANI.

7. Kertas Pembentangan ke-7 daripada Majlis Perbandaran Kulim (MPKulim)
Inisiatif E10 melonjak produktiviti Negeri dan hasil PBT
Dalam Fasa Pandemik Covid-19 tempoh hari, telah memberi impak besar kepada kemerosotan ekonomi di Malaysia yang turut memberi kesan negatif kepada pertumbuhan ekonomi setempat dan dunia. Sehubungan itu, Majlis Perbandaran Kulim (MPKK) cuba membantu mewujudkan peluang pekerjaan dan mengambil sikap proaktif dengan melakukan penambahbaikan proses kerja sedia ada bagi memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat. Ia selaras dengan konsep pembangunan manhaj Madani yang berteraskan inisiatif E10. Ia merupakan satu konsep Kecekapan Sistem Penyampaian Perkhidmatan di mana memberikan keutamaan dalam keperluan “Ease of Doing Business” di bandar Kulim.

8. Kertas Pembentangan ke-8 daripada Majlis Daerah Selama (MDS)
Pemerkasaan PBT dan Masyarakat melalui Comunity Based Tourism
Sektor pelancongan merupakan salah satu sektor penting yang memberi sumbangan besar kepada ekonomi pembangunan negara. Ia bukan sahaja dapat menarik pelawat daripada luar bahkan juga memberi manfaat kepada rakyat dan masyarakat setempat. Majlis Daerah Selama (MDS) telah memberi pendekatan dalam memperkasakan “Community Base Tourism” yang telah dilaksanakan bersama 44 Rakan Strategik Pelancongan – Majlis Daerah Selama (RSP – MDS). Projek inovasi yang telah dilaksanakan sejak tahun 2016 ini memperlihatkan impak yang sangat baik pada prestasi kewangan MDS, meningkatkan hasil jumlah kedatangan penduduk yang tinggi dalam mengumpul hasil jualan pakej pelancongan di samping merancakkan sirkulasi ekonomi yang mana dapat dinikmati oleh penduduk di Daerah Selama ini.

9. Kertas Pembentangan ke-9 daripada Majlis Perbandaran Manjung
Digilitasi Penguruan Pelesenan dan Pengkuatkuasaan my Patil
Selain itu, dalam menjalankan pelbagai aktiviti menjana ekonomi khasnya perdagangan, pengeluaran lesen atau permit perniagaan yang sah adalah penting kepada kedua-dua pihak iaitu PBT dan juga peniaga. Ia penting supaya dapat mengawal aktiviti-aktiviti perniagaan ini dilaksanakan secara teratur dan sah disamping menggalakkan peningkatan ekonomi sumbangan kepada PBT. Pelaksanaan Lesen Perniagaan Digital (myPatil) di Majlis Daerah Manjung (MDM) membolehkan semakan premis dilaksanakan dengan lebih efisien dan telus ke atas peniaga. Sistem yang digunapakai oleh Jabatan Pelesenan dan Penguatkuasaan oleh MDM ini membolehkan laporan dan statistik bagi jumlah notis serta kompaun yang dikeluarkan dapat dijana dengan lebih tepat dan pengemaskini sistem dilaksanakan secara terus ke pangkalan data. Dengan adanya teknologi ini, maka pihak PBT dapat membuat keputusan dengan lebih cepat dan tepat berkaitan dengan perancangan, pengurusan dan pemantauan lesen sehingga kepada perancangan pembangunan fizikal yang dapat meningkatkan ekonomi dan taraf hidup masyarakat setempat.

ms_MYMalay